Sunday, June 5, 2016

Misi Penilaian Semula Langkawi Global Geopark

Pada 1 hingga 4 Ogos 2015 yang lalu, Langkawi Global Geopark telah menerima kehadiran dua orang penilai daripada pihak UNESCO dalam misi penilaian untuk memastikan kelangsungan pulau pelancongan ini terus memegang status Langkawi Global Geopark bagi tempoh empat tahun lagi.

Wakil daripada UNESCO yang bertindak sebagai penilai iaitu  Mr Pascalue Li Puma dari Madonie Geopark Itali dan juga Mr Pablo Rivas Palomo dari Cabo De Gata Nijar Natural Park, Sepanyol. Penilaian semula bagi kali kedua ini juga membuktikan bahawa LADA selaku peneraju pembangunan dan juga penyelaras Langkawi Global Geopark begitu komited dalam mempertahankan status geopark demi kepentingan bumi Langkawi sendiri dan juga negara Malaysia amnya.


Penilaian dilakukan adalah berdasarkan pembentangan, lawatan ke geotapak, aktiviti konservasi, budaya dan juga pendidikan serta penglibatan komuniti setempat. YBhg. Tan Sri Khalid, Ketua Pegawai Eksekutif LADA telah membentangkan kertas kerja bertajuk “Langkawi At A Glance”.

Para penilai telah melawat tiga kawasan konservasi utama Langkawi Global Geopark iaitu Kilim Karst Geoforest Park, Machinchang Cambrian Geoforest Park dan juga Dayang Bunting Marble Geoforest Park. Selain itu, mereka juga dibawa melawat ke Laman Padi dan juga sekolah angkat geopark yang baru iaitu Sek. Men. Kebangsaan Kedawang.


Misi penilaian pada kali ini telah mendapat kerjasama daripada agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Polis Marin, APMM, Jabatan Laut, Jabatan Perhutanan, Jabatan Kesihatan serta Jabatan Pertahanan Awam.











PROGRAM KONSERVASI BERSAMA PESERTA PRORGAM MALAYSIAN TECHNICAL COOPERATION PROGRAMME (MTCP) – CERTIFICATE IN JUVENILE AND REHABILITATION Program konservasi penanaman anak bakau telah diadakan di sekitar kawasan Kilim Karst Geoforest Park pada 7 April 2016 lalu. Program anjuran LADA ini telah melibatkan 38 orang peserta luar negara antaranya Indonesia, Brunei, Fiji, India, Tanzania, Filipina, Uganda, Cambodia, Mauritius dan Thailand serta beberapa peserta tempatan daripada Jabatan Penjara. Mereka merupakan peserta program Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP) – Certificate In Juvenile And Rehabilitation anjuran Wisma Putra dan Akademi Koreksional pada 1 hingga 27 April 2016.

Program ini dimulakan dengan taklimat mengenai hutan paya bakau di kawasan Santuari Bakau. Peserta juga diberi penerangan mengenai cara menanam anak bakau dan turut dibekalkan dengan dua anak pokok setiap seorang untuk dibawa ke tapak tanaman dengan menaiki bot. Sebanyak 84 anak bakau berjaya ditanam oleh pesert
a. Program ini berakhir dengan lawatan peserta ke Gua Kelawar, Eagle Watching, Andaman Sea Tour dan Fish Farm. Turut hadir bersama Tuan PKP S. Adinaraina, Pengarah Akademi Koreksional Malaysia.
  











Monday, November 10, 2014

Ekspedisi Saintifik Gunung Raya 2014


25 Oktober, Pusat Penyelidikan Langkawi - Seramai 67 penyelidik yang terdiri daripada pelbagai bidang kepakaran telah menyertai Ekspedisi Saintifik Gunung Raya yang dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Langkawi, UKM dengan kerjasama LADA, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Jabatan Mineral dan Galian, Jabatan Perhilitan Negeri Kedah dan Jabatan Perparitan dan Saliran Negeri Kedah.

Tujuan ekspedisi ini dilaksanakan adalah untuk melengkapkan pengkalan data sumber asli dan budaya kepulauan Langkawi. Diharapkan dengan kajian ini dapat membongkar khazanah alam di sekitar Gunung Raya demi faedah dan manafaat akademik serta dapat membantu industri pelancongan di Langkawi.

Antara bidang kajian yang diberi tumpuan pada ekspedisi kali ini ialah geologi, biologi, komuniti dan masyarakat setempat serta kajian pencemaran sungai akibat aktiviti pelancongan.

Menurut Dr. Kamal Roslan, Pengarah Pusat Penyelidikan Langkawi hasil kajian ini akan dibukukan bagi tujuan rujukan dan akademik sebagimana ekspedisi Selat Kuah dan Bukit Sawak. Menurut beliau lagi, pihaknya akan sentiasa merancang dan menyelaras aktiviti kajian di Langkawi bagi memastikan khazanah alam semula jadi di Langkawi Geopark mempunyai pengkalan data yang lengkap.





Sunday, October 12, 2014

Lawatan bersama MTCP

Pada 3 September 2014, peserta Malaysian Technical Cooperation Program (MTCP) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia telah mengadakan lawatan ke Kilim Karst Geoforest Park. Program ini melibatkan hampir 30 orang peserta dari beberapa buah negara antaranya Taiwan, Vietnam, Laos, Maldives, Filipina, Malaysia dan beberapa negara dari benua Afrika. Beberapa pegawai dan staf Bahagian Geopark yang diketuai oleh En Mohd Rohaizad telah mengiringi lawatan ini sambil memberi penerangan mengenai setiap tempat yang dilawati.
Taklimat awal telah diberikan sebagai pengenalan mengenai Langkawi Geopark dan maklumat asas mengenai aspek keselamatan. Selepas itu peserta dibawa melawat ke Gua Kelawar untuk melihat keunikan struktur gua seperti stalagtit, stalagmit dan tiang gua. Peserta juga diberi penerangan mengenai spesis kelawar dan fungsi hutan paya bakau untuk kelestarian alam.
Seterusnya, peserta dibawa menyelusuri Sungai Kilim untuk melihat burung helang serta struktur batuan yang terdapat di kawasan ini.
Peserta diberikan peluang untuk berinteraksi secara dua hala dengan pegawai dan staf geopark. Melalui hal ini, peserta mendapat maklumat secara menyeluruh mengenai Langkawi Geopark. Lawatan diakhiri dengan
kunjungan ke taman ikan milik warga tempatan. Di situ, peserta dapat melihat pelbagai jenis ikan yang diternak untuk tujuan pameran.
Program ini tamat sekitar jam 1 tengah hari dengan kenangan manis yang dibawa oleh para peserta ke negara masing-masing. Diharapkan program ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk mempromosikan Langkawi Geopark serta mendidik masyarakat mengenai tanggungjawab terhadap alam sekitar,



Wednesday, September 17, 2014

Program 'School to Geopark'


Dalam usaha meningkatkan pemahaman generasi muda terhadap Langkawi Geopark, program-program pendidikan dan kesedaran awam telah dipergiatkan.  Pada 16 Ogos 2014, Bahagian Geopark, LADA telah mengadakan program School to Geopark dengan kerjasama Kolej Vokasional Langkawi. Program ini menyusul setelah  Program Geopark to School, iaitu penerangan secara teori diadakan pada 3 Jun 2014 bertempat di Kolej Vokasional. Seramai 40 orang pelajar serta tenaga pengajar dibawa melawat Dayang Bunting Marble Geoforest Park iaitu salah satu dari tiga Taman Rimba di Langkawi Geopark. Program dimulakan dengan taklimat ringkas oleh En Khairul bin Abdul Ghalim, selaku pegawai yang bertanggungjawab menyelaras program pendidikan mengenai perjalanan program dan disusuli dengan taklimat keselamatan. Selain melawat keindahan Pulau Dayang Bunting, pelajar serta guru diberi pemahaman mengenai unsur-unsur geologi dan biologi oleh pegawai dan kakitangan Bahagian Geopark. Pelajar serta guru telah dipecahkan dalam kumpulan yang kecil untuk memastikan komunikasi dua hala dapat dijalankan dengan lancar.


Selain melawat keindahan Pulau Dayang Bunting, mereka juga dibawa ke Pulau Ular untuk melihat spesies Bakau Pasir atau Rhizophora stylosa iaitu spesies bakau yang jarang ditemui dan dikategorikan sebagai terancam. Pelajar diberi penerangan mengenai spesis bakau serta kepentingan memelihara hutan bakau kepada ekosistem dan kelangsungan hidup hidupan. 


                                           Penerangan mengenai unsur geologi di Pulau Ular

Program ini tamat sekitar jam 2.30 petang dengan kenangan indah yang dibawa pulang oleh para pelajar. Program ini akan diteruskan dari masa ke semasa dalam usaha membentuk 'Geopakian' yang bertanggungjawab terhadap langkawi Geopark.

Monday, June 23, 2014

Geopark Teacher 2014 - Program Pendidikan Awam Langkawi Geopark


Langkawi, 21 Jun 2014: Bertempat di Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL), Pantai Kok telah berlangsung satu Program Geo-Teacher anjuran Bahagian Geopark LADA, Pejabat Pendidikan Langkawi, Pusat Penyelidikan Langkawi, UKM dan sekolah-sekolah di Langkawi. Seramai 30 orang peserta daripada guru sekolah telah menghadiri program ini

Tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran guru-guru di Langkawi berkenaan dengan konsep Langkawi Geopark. Selain itu juga, tujuan utama program ini adalah mewujudkan kerjasama di antara pihak sekolah dan Bahagian Geopark LADA untuk sama-sama membantu merancang program yang dapat meningkatkan kesedaran para pelajar Langkawi terhadap kepentingan atau kesedaran mengenai keperluan menjaga Langkawi sebagai sebuah Geopark. 
Di antara pengisian program yang telah dilakukan adalah, guru-guru telah di beri taklimat mengenai pengenalan Langkawi Geopark, pencapaian dan cabaran yang di hadapi bagi memartabatkan Langkawi Geopark serta taklimat program perancangan pendidikan awam untuk sekolah-sekolah di Langkawi yang telah disampaikan oleh Cik Rasanubari Asmah Rahmah Abd Hamid dan En. Khairul Nizam Bin Abd Ghalim, pegawai dari bahagian Geopark LADA. Selain itu juga, Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) turut diperkenalkan oleh Cik Ku Adriani Binti Ku Ayob sebagai sebuah pusat ilmu atau pusat rujukan berkenaan dengan Langkawi Geopark. 
Pada sebelah petang pula, guru-guru telah di bawa ke Kilim untuk sesi lawatan dan pengenalan kepada paya bakau, gua kelawar dan sangkar ikan bagi merasai pengalaman sebenar supaya dapat di jadikan sumber rujukan untuk modul-modul yang bakal di terbitkan untuk pelajar sekolah pada masa akan datang.