Sunday, June 5, 2016

Regional Geoheritage Conference 2015

Pada 2 hingga 5 November 2015 yang lalu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah menganjurkan “Regional Heritage Conference 2015” bertempat di Kompleks LADA.

Peserta-peserta persidangan ini terdiri daripada tokoh pendidikan daripada institusi pengajian tinggi, jabatan-jabatan kerajaan dan juga individu penting yang terlibat dalam pemuliharaan geopark. Sebanyak tiga buah negara terlibat dalam menjayakan persidangan ini iaitu Thailand, Malaysia dan Indonesia melibatkan kira-kira 60 orang peserta.

Persidangan ini bermula dengan pembentangan kertas kerja pada hari pertama
persidangan di Auditorium Kompleks LADA pada 2 hingga 3 November 2015. Lawatan lapangan iaitu  ke Kubang Badak yang terletak di dalam kawasan konservasi Machinchang Cambrian Geoforest Park telah diadakan pada hari ketiga persidangan. 

Persidangan selama empat hari ini diakhiri dengan lawatan ke Phu Pha Pet Cave yang terletak di kawasan Satun Geopark , Thailand pada  5 November 2015.











Langkawi Kekal Status Geopark

Langkawi Global Geopark sekali lagi berjaya mengekalkan status sebagai Langkawi Global Geopark untuk tempoh empat (4) tahun lagi iaitu 2015 hingga 2019.

Kerjasama dan usaha yang berterusan dari semua pihak  dalam memastikan kejayaan Langkawi Global Geopark untuk terus memegang kad hijau akhirnya membuahkan hasil apabila Langkawi Global Geopark dianugerahkan sijil tersebut semasa persidangan bertempat di San’i Kaigan Jepun pada 17 September 2015. YBhg. Tan Sri Khalid, Ketua Pegawai Eksekutif LADA telah menerima sijil tersebut daripada pihak UNESCO.

Rentetan daripada kejayaan tersebut, satu sidang media telah diadakan pada 28 September 2015 bertempat di Ayer Hangat Village bertujuan untuk mengumumkan keputusan penilaian semula Langkawi Global Geopark yang telah diadakan pada 1 hingga 4 Ogos 2015. Kenduri kesyukuran sempena kejayaan mengekalkan status Langkawi Global Geopark turut
diadakan pada hari yang sama.







Misi Penilaian Semula Langkawi Global Geopark

Pada 1 hingga 4 Ogos 2015 yang lalu, Langkawi Global Geopark telah menerima kehadiran dua orang penilai daripada pihak UNESCO dalam misi penilaian untuk memastikan kelangsungan pulau pelancongan ini terus memegang status Langkawi Global Geopark bagi tempoh empat tahun lagi.

Wakil daripada UNESCO yang bertindak sebagai penilai iaitu  Mr Pascalue Li Puma dari Madonie Geopark Itali dan juga Mr Pablo Rivas Palomo dari Cabo De Gata Nijar Natural Park, Sepanyol. Penilaian semula bagi kali kedua ini juga membuktikan bahawa LADA selaku peneraju pembangunan dan juga penyelaras Langkawi Global Geopark begitu komited dalam mempertahankan status geopark demi kepentingan bumi Langkawi sendiri dan juga negara Malaysia amnya.


Penilaian dilakukan adalah berdasarkan pembentangan, lawatan ke geotapak, aktiviti konservasi, budaya dan juga pendidikan serta penglibatan komuniti setempat. YBhg. Tan Sri Khalid, Ketua Pegawai Eksekutif LADA telah membentangkan kertas kerja bertajuk “Langkawi At A Glance”.

Para penilai telah melawat tiga kawasan konservasi utama Langkawi Global Geopark iaitu Kilim Karst Geoforest Park, Machinchang Cambrian Geoforest Park dan juga Dayang Bunting Marble Geoforest Park. Selain itu, mereka juga dibawa melawat ke Laman Padi dan juga sekolah angkat geopark yang baru iaitu Sek. Men. Kebangsaan Kedawang.


Misi penilaian pada kali ini telah mendapat kerjasama daripada agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Polis Marin, APMM, Jabatan Laut, Jabatan Perhutanan, Jabatan Kesihatan serta Jabatan Pertahanan Awam.











PROGRAM KONSERVASI BERSAMA PESERTA PRORGAM MALAYSIAN TECHNICAL COOPERATION PROGRAMME (MTCP) – CERTIFICATE IN JUVENILE AND REHABILITATION Program konservasi penanaman anak bakau telah diadakan di sekitar kawasan Kilim Karst Geoforest Park pada 7 April 2016 lalu. Program anjuran LADA ini telah melibatkan 38 orang peserta luar negara antaranya Indonesia, Brunei, Fiji, India, Tanzania, Filipina, Uganda, Cambodia, Mauritius dan Thailand serta beberapa peserta tempatan daripada Jabatan Penjara. Mereka merupakan peserta program Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP) – Certificate In Juvenile And Rehabilitation anjuran Wisma Putra dan Akademi Koreksional pada 1 hingga 27 April 2016.

Program ini dimulakan dengan taklimat mengenai hutan paya bakau di kawasan Santuari Bakau. Peserta juga diberi penerangan mengenai cara menanam anak bakau dan turut dibekalkan dengan dua anak pokok setiap seorang untuk dibawa ke tapak tanaman dengan menaiki bot. Sebanyak 84 anak bakau berjaya ditanam oleh pesert
a. Program ini berakhir dengan lawatan peserta ke Gua Kelawar, Eagle Watching, Andaman Sea Tour dan Fish Farm. Turut hadir bersama Tuan PKP S. Adinaraina, Pengarah Akademi Koreksional Malaysia.
  











Monday, November 10, 2014

Ekspedisi Saintifik Gunung Raya 2014


25 Oktober, Pusat Penyelidikan Langkawi - Seramai 67 penyelidik yang terdiri daripada pelbagai bidang kepakaran telah menyertai Ekspedisi Saintifik Gunung Raya yang dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Langkawi, UKM dengan kerjasama LADA, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Jabatan Mineral dan Galian, Jabatan Perhilitan Negeri Kedah dan Jabatan Perparitan dan Saliran Negeri Kedah.

Tujuan ekspedisi ini dilaksanakan adalah untuk melengkapkan pengkalan data sumber asli dan budaya kepulauan Langkawi. Diharapkan dengan kajian ini dapat membongkar khazanah alam di sekitar Gunung Raya demi faedah dan manafaat akademik serta dapat membantu industri pelancongan di Langkawi.

Antara bidang kajian yang diberi tumpuan pada ekspedisi kali ini ialah geologi, biologi, komuniti dan masyarakat setempat serta kajian pencemaran sungai akibat aktiviti pelancongan.

Menurut Dr. Kamal Roslan, Pengarah Pusat Penyelidikan Langkawi hasil kajian ini akan dibukukan bagi tujuan rujukan dan akademik sebagimana ekspedisi Selat Kuah dan Bukit Sawak. Menurut beliau lagi, pihaknya akan sentiasa merancang dan menyelaras aktiviti kajian di Langkawi bagi memastikan khazanah alam semula jadi di Langkawi Geopark mempunyai pengkalan data yang lengkap.





Sunday, October 12, 2014

Lawatan bersama MTCP

Pada 3 September 2014, peserta Malaysian Technical Cooperation Program (MTCP) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia telah mengadakan lawatan ke Kilim Karst Geoforest Park. Program ini melibatkan hampir 30 orang peserta dari beberapa buah negara antaranya Taiwan, Vietnam, Laos, Maldives, Filipina, Malaysia dan beberapa negara dari benua Afrika. Beberapa pegawai dan staf Bahagian Geopark yang diketuai oleh En Mohd Rohaizad telah mengiringi lawatan ini sambil memberi penerangan mengenai setiap tempat yang dilawati.
Taklimat awal telah diberikan sebagai pengenalan mengenai Langkawi Geopark dan maklumat asas mengenai aspek keselamatan. Selepas itu peserta dibawa melawat ke Gua Kelawar untuk melihat keunikan struktur gua seperti stalagtit, stalagmit dan tiang gua. Peserta juga diberi penerangan mengenai spesis kelawar dan fungsi hutan paya bakau untuk kelestarian alam.
Seterusnya, peserta dibawa menyelusuri Sungai Kilim untuk melihat burung helang serta struktur batuan yang terdapat di kawasan ini.
Peserta diberikan peluang untuk berinteraksi secara dua hala dengan pegawai dan staf geopark. Melalui hal ini, peserta mendapat maklumat secara menyeluruh mengenai Langkawi Geopark. Lawatan diakhiri dengan
kunjungan ke taman ikan milik warga tempatan. Di situ, peserta dapat melihat pelbagai jenis ikan yang diternak untuk tujuan pameran.
Program ini tamat sekitar jam 1 tengah hari dengan kenangan manis yang dibawa oleh para peserta ke negara masing-masing. Diharapkan program ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk mempromosikan Langkawi Geopark serta mendidik masyarakat mengenai tanggungjawab terhadap alam sekitar,