Sunday, June 5, 2016

Misi Penilaian Semula Langkawi Global Geopark

Pada 1 hingga 4 Ogos 2015 yang lalu, Langkawi Global Geopark telah menerima kehadiran dua orang penilai daripada pihak UNESCO dalam misi penilaian untuk memastikan kelangsungan pulau pelancongan ini terus memegang status Langkawi Global Geopark bagi tempoh empat tahun lagi.

Wakil daripada UNESCO yang bertindak sebagai penilai iaitu  Mr Pascalue Li Puma dari Madonie Geopark Itali dan juga Mr Pablo Rivas Palomo dari Cabo De Gata Nijar Natural Park, Sepanyol. Penilaian semula bagi kali kedua ini juga membuktikan bahawa LADA selaku peneraju pembangunan dan juga penyelaras Langkawi Global Geopark begitu komited dalam mempertahankan status geopark demi kepentingan bumi Langkawi sendiri dan juga negara Malaysia amnya.


Penilaian dilakukan adalah berdasarkan pembentangan, lawatan ke geotapak, aktiviti konservasi, budaya dan juga pendidikan serta penglibatan komuniti setempat. YBhg. Tan Sri Khalid, Ketua Pegawai Eksekutif LADA telah membentangkan kertas kerja bertajuk “Langkawi At A Glance”.

Para penilai telah melawat tiga kawasan konservasi utama Langkawi Global Geopark iaitu Kilim Karst Geoforest Park, Machinchang Cambrian Geoforest Park dan juga Dayang Bunting Marble Geoforest Park. Selain itu, mereka juga dibawa melawat ke Laman Padi dan juga sekolah angkat geopark yang baru iaitu Sek. Men. Kebangsaan Kedawang.


Misi penilaian pada kali ini telah mendapat kerjasama daripada agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Polis Marin, APMM, Jabatan Laut, Jabatan Perhutanan, Jabatan Kesihatan serta Jabatan Pertahanan Awam.











No comments:

Post a Comment